CLICK HERE FOR FREE BLOGGER TEMPLATES, LINK BUTTONS AND MORE! »

Assalamualaikum W.B.T

Tuesday, 27 December 2011

Meniti Jalan Yang Suci



Tangisan selalu dikaitkan dengan fenomena kesedihan dan penyesalan. Malah, tangisan manusia itu melambangkan keadaan normal yang berlaku kepada setiap insan. Tiada manusia yang tidak pernah menitiskan air mata. Ini kerana kita sebagai manusia pasti menempuh hari ataupun masa yang sedih.
Air mata meluncur laju keluar dari kelopak mata tanpa dapat disekat-sekat lagi. Ada juga manusia yang begitu gembira juga menitiskan air mata. Ada pula anggapan kebanyakkan kita mengatakan wanita yang sensetif pasti cepat menangis dan ada juga yang menuduh orang-orang yang manja sahaja yang cepat menangis.
Namun, bukan hal itu yang mahu dikupas dalam bingkisan bicara ini. Fokus kali ini adalah menangis menurut pandangan Islam. Sebenarnya, orang beriman dan bertakwa memiliki perasaan hati yang sensetif semasa membaca ayat-ayat Allah dalam al-Quran. Tangisan mereka adalah kerana keinsafan, ketakutan dan rasa kehambaan yang tinggi.
Dalam surah Maryam, Allah menyatakan kepada kita keadaan para nabi dan orang-orang soleh yang mendapat cahaya hidayah semasa membaca al-Quran.

"Apabila dibacakan ayat-ayat Allah yang maha pemurah kepada mereka (para nabi dan orang-orang yang mendapat hidayah), maka mereka tersungkur sambil bersujud dan menangis.'
(Surah Maryam, ayat 58)

Tangisan para nabi dan orang-orang yang mendapat hidayah kerana mereka memahami dan menghayati dengan mendalam maksud ayat-ayat Allah. Sesetengah orang tidak menghayati makna disebalik ayat tersebut tetapi sekadar terpaku dengan alunan suara merdu bacaan kita.
Dikisahkan kembali kisah bagaimana adanya manusia bukan Islam yang tersentuh hati apabila mendengar sahaja ayat-ayat Allah dialunkan. Diceritakan, raja bernama Najasyi yang beragama Nasrani di Habsyah menerima utusan Rasulullah. Beliau menerimanya dengan semangat kemanusiaan yang tinggi. Utusan yang diterima itu adalah orang-orang Islam yang berhijrah dari Mekah.
Jaafar bin Abi Talib memberitakan kemunculan nabi yang terakhir iaitu Muhammad dan menerangkan sebahagian risalah yang dibawa oleh Rasulullah. Mendengar yang demikian, maka Raja Najasyi meminta Jaafar bin Abi Talib membaca sebahagian ayat-ayat yang sudah diturunkan kepada Muhammad itu.
Bagi memenuhi permintaan raja itu, Jaafar bin Abi Talib pun membacakan beberapa ayat daripada Surah Maryam yang berkaitan masalah kesucian Nabi Isa dan ibunya Maryam daripada segala noda dan kotoran dosa.
Apabila mendengar ayat-ayat yang dibacakan itu, Raja Najasyi dan beberapa ulamanya yang hadir itu tidak dapat menahan air mata daripada mengalir. Kata Najasyi, "Demi Tuhan, tanda-tanda kebenaran begitu jelas dalam ayat-ayat itu."



Ini adalah satu contoh terbaik bagaimana kekhusyukan hati dan pemahaman ayat-ayat Allah dapat mengundang keinsafan dalam hati nurani insan. Hebat Raja Najasyi itu. Ini adalah satu contoh terbaik bagaimana kekhusukan hati dan pemahaman ayat-ayat Allah dapat mengundang keinsafan dalam hati nurani insan. Hebat Raja Najasyi itu.
Walaupun pada masa itu beliau belum menerima Islam, tetapi beliau mengakui kebenaran ayat-ayat Allah sehingga menitiskan air mata. Bagaimana pula kita yang mengaku Islam dan beriman kepada Allah ini? Tidakkah terkesan di hati semasa membaca ayat-ayat Allah di dalam al-Quran, ataupun masih asyik dengan alunan suara sahaja?
Mari bersama kita hayati kata-kata peninggalan Abu Hurairah ini, "Sesungguhnya aku tidak menangisi dunia ini, tetapi aku menangis apabila memikirkan perjalanan yang panjang dan bekalan diri yang sedikit ke alam barzakh. Aku berada antara dua jalan. Tinggi dan rendah, syurga dan neraka. Aku tidak tahu ke arah mana kakiku ini melangkah. Fikir-fikirkan.

No comments:

Post a Comment